Rabu, 23 November 2011

PENGENALAN ISTILAH-ISTILAH DALAM FIQH SYAFI'E

Azhar : Pendapat yang berasa daripada dua qaul atau lebih oleh Imam Syafi'e, di mana perselisihan dalam menentukan manakah qaul yang sebenarnya oleh Imam Syafi'e sangat kuat. Lantaran itu pendapat yang paling kuat dan terserlah hujahnya di antara qaul-qaul itu dikenali sebagai azhar. Sementara pendapat satu lagi yang berlawanan dengannya dikenali sebagai zahir kerana kekuatan dalil kedua-duanya.

Masyhur: Pendapat yang berasal daripada dua qaul atau lebih oleh Imam syafi'e, di mana dalam menentukan manakah qaul yang sebenamya oleh Syafi'e tidak terdapat perselisihan yang kuat. Qaul yang paling kuat dalam perselisihan ini dikenali' sebagai masyhur sementara lawannya dikenali sebagai gharib kerana kelemahan hujahnya.
Azhar dan Masyhur merupakan fatwa yang lahir daripada Imam Syafi'e sendiri.

Asah: Berasal daripada dua pendapat atau lebih oleh para ulama mazhab syafi'e di mana mereka memfatwakannya berdasarkan kepada pendapat Imam Syafi'e atau mereka mengistinbatkannya berdasarkan kepada kaedah-kaedah yang dipakai oleh Imam Syafi'e. Perselisihan di antara qaul-qaul itu sangat kuat. Oleh itu pendapat yang paling terserlah kekuatan dalilnya dikenali sebagai asah.

Sohih: Berasal daripada dua pendapat, atau lebih oleh para ulama mazhab syafi'e, tetapi perselisihan di antara pendapat-pendapat itu tidak kuat. Pendapat yang terkuat di antaranya dikenali sebagai Sohih, sementara lawannya merupakan qaul dhaif (lemah) kerana kesalahan hujahnya.

Asah dan Sohih merupakan fatwa yang lahir daripada ulama-ulama Syafi'e.

Wajah: Bererti pandangan atau fatwa yang lahir daripada ulama-ulama mazhab Syafi'e sementara istilah qaul diguna pakai untuk pendapat imam Syafie sendiri.

Mazhab: Berasal daripada dua jalan atau lebih iaitu perselisihan ulama-ulama Syafi'e dalam melaporkan tentang mazhab syafi'e, seperti sesetengah mereka melaporkan bahawa dalam masalah tertentu terdapat dua qaul oleh Imam Syafi'e atau dua wajah oleh para ashab (ulama-ulama mazhab Syafi'e), sementara sebahagian yang lain pula memutuskan bahawa satu sahaja di antara qaul-qaul itu oleh Imam Syafi'e. Maka qaul yang satu yang diputuskan ini diungkapkan dengan istilah  mazbab. Mazhab merupakan pandangan yang dikira sebagai fatwa dalam mazhb syafi'e.

Nas: Bererti nas (perkataan) Imam Syafi'e sendiri. Lawannya ialah wajah yang Dhaif atau qaul Mukharraj. Qaul Mukharraj merupakan hasil jawapan yang diberikan oleh Imam Syafi'e terhadap dua hukum yang berbeza tetapi dalam gambaran yang seakan-akan sama di mana tidak jelas tanda yang dapat membezakan di antara kedua-dua hukum itu. Lantaran itu para ulama mazhab Syafi'e telah menukilkan jawapan imam Syafi'e itu dengan menyatakan hukum itu pada dua keadaan yang dijawab oleh Syafi'e. Dengan itu setiap daripada dua jawapan itu menyebabkan timbulnya dua qaul, iaitu qaul mansus (Dipercayai sebagai pendapat Syafi'e yang sebenar) dan qaul Mukharraj. Menurut pendapat yang asah qaul Mukharraj tidak boleh dinisbahkan kepada imam Syafi'e kerana ada kemungkinan beliau menarik balik daripada berpendapat dengan qaul itu. walaupun begitu kadangkala sesuatu masalah difatwakan bukan berdasarkan kepada nas.

Jadid: Pendapat yang difatwakan oleh Imam Syafi'e semasa berada di Mesir samada pendapat yang dimuatkan dalam tulisannya atau yang disampaikan melalui fatwanya.

Qadim: Pendapat yang difatwakan oleh Imam Syafi'e semasa berada di Iraq yang dimuatkan dalam kitabnya al-Hujjah atau yang difatwakannya secara lisan. Imam Syafi'e telah menarik balik pendapat-pendapat ini dan tidak mengharuskan difatwakan dengannya Namun para ulama mazhab syafi'e telah memberikan fatwa berdasarkan pendapat qadim dalam kira-kira 17 masalah. Tentang pendapat Syafi'e semasa beliau berada di antara Mesir dan Iraq maka pendapatnya yang terkemudian dikenali sebagai jadid sementara pendapat yang awal dikenali sebagai qadim. Apabila dalam sesuatu persoalan terdapat fatwa Jadid dan qadim maka yang patut diamalkan ialah fatwa jadid.


0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Design by SUNNAH STUDIO | Bloggerized by TERBITAN MUKMIN - Premium Blogger Themes | MADU KEIMANAN, SUNNAH STUDIO