Isnin, 23 November 2009

PENGENALAN

Alhamdulillah, segala puji-pujian bagi Allah Tuhan sekalian alam, Dia-lah yang mencipta ‘arasy, langit dan bumi, Dia-lah jua Pencipta tempat, wujud-Nya tanpa memerlukan tempat. Selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad, ahli keluarga dan para sahabat Baginda.

1. MUQADDIMAH
Dewasa kini seringkali kita mendengar banyak golongan yang asyik melabelkan diri mereka sebagai Ahli Sunnah Wal Jama‘ah. Akan tetapi adakah dengan hanya mengaku sedemikian sahaja tanpa bukti yang kukuh harus bagi kita pula menamakan mereka sebagai Ahli Sunnah Wal Jama‘ah?
Kita jua ketahui bahawa ancaman dan penentangan terhadap Ahli Sunnah Wal Jama‘ah yang sebenar datang dari pelbagai sudut termasuk wujudnya ajaran-ajaran songsang, aliran-aliran baru yang menyimpang, keganasan yang terkeluar dari erti jihad, isu murtad dan sebagainya. Apakah mawqif ( فقوم ) dan peranan kita sebagai Ahli Sunnah Wal Jama‘ah?

Ramai jua yang tahu peranan masing-masing tetapi mengabaikan tindakan segera atau menganggap ia sebagai suatu yang boleh dilakukan pada masa yang akan datang tanpa disedari semakin hari semakin pupus insan yang mengetahui erti aqidah yang sebenar, semakin hari semakin hilang mutiara ilmu aqidah yang menjadi senjata utama dalam menguatkan serta memajukan lagi taraf insan yang bergelar Ahli Sunnah Wal Jama‘ah.

Tidak pernah tahukah insan sebegini dengan sabda Nabi Muhammad yang diriwayatkan oleh Imam Ibn ‘Asakir dan Imam Abdariyy bahawa Baginda pernah bersabda yang bermaksud:

Sesungguhnya manusia itu apabila ia melihat (mengetahui) kemungkaran, tiada pula ia merubahkannya, maka Allah akan mengumumkan azab-Nya ke atas semua manusia.

Terlupakah insan ini akan kata-kata yang sering diungkap oleh para ulama seperti Imam ‘Ali al-Daqqaq yang bermaksud:

Senyap dari menyatakan kebenaran merupakan syaitan bisu.”

Semoga dari tulisan ini dapat menguatkan lagi semangat kita dalam memperjuangkan agama Allah. Amin.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Design by SUNNAH STUDIO | Bloggerized by TERBITAN MUKMIN - Premium Blogger Themes | MADU KEIMANAN, SUNNAH STUDIO