Isnin, 23 November 2009

AQIDAH : Erti Aqidah Dan Kaitannya Dengan Amalan Salih

Aqidah membawa erti pegangan dan kepercayaan seseorang. Pegangan dan kepercayaan ini pula terbahagi kepada dua iaitu benar atau salah. Aqidah yang benar merupakan kunci kepada segala penerimaan ibadah. Tanpa aqidah yang benar Allah tidak akan menerima segala amalan salih. Sekiranya aqidah seseorang itu salah maka yang akan dicatit hanyalah amalan keburukan maka akan hanya dibalas dengan keburukan. Justeru itu, perkara yang berkaitan dengan aqidah tidak harus dijadikan gurauan senda atau diremeh-remehkan. Hubungan aqidah dan amalan salih ini berdalilkan firman Allah yang bermaksud:

Dan barangsiapa melakukan amalan salih dari kalangan lelaki ataupun wanita dalam ia beriman (beraqidah dengan aqidah yang betul) maka merekalah yang akan dimasukkan ke dalam syurga dan tidak akan dizalimi walaupun sedikit.”
(Al-Nisa’ ayat 124)

Ayat tersebut jelas menerangkan bahawa apa sahaja amalan salih yang dilakukan orang lelaki mahupun perempuan, imanlah syarat utama penerimaannya dari Allah. Begitu juga kenyataan dari hadith Nabi yang bermaksud:

Semulia-mulia amalan adalan beriman kepada Allah dan Rasul-Nya (beraqidah dengan aqidah yang betul).”
(Sahih al-Bukhariyy)

Ini menandakan bahawa aqidah merupakan sesuatu yang teramat penting dan perlu diutamakan dari masalah-masalah yang lain.

Para Ulama Mengutamakan Ilmu Aqidah

Oleh kerana pentingnya ilmu aqidah maka kita dapati seluruh para ilmuan Islam akan mengutamakan ilmu aqidah. Perkara ini dapat dipetik dari kenyataan Imam tertua di antara mazhab empat iaitu Imam Abu Hanifah menyatakan dalam kitab beliau Fiqh al-Absat ( طسبلأا هقف ) yang bermaksud:

Ketahuilah bahawa mendalami ilmu usuluddin (aqidah) itu lebih mulia dari mendalami ilmu fiqh.”

Kenyataan ini tidak bermakna kita tidak harus mempelajari ilmu fiqh langsung, akan tetapi Imam Abu Hanifah menerangkan kemuliaan mempelajari dan mengutamakan ilmu aqidah. Begitu juga para ulama yang lain mengutamakan ilmu ini seperti Imam yang menjadi pegangan mazhabnya di tanah air kita iaitu Imam Syafi‘iyy menyatakan yang bermaksud:

Kami telah mendalami ilmu tersebut (aqidah) sebelum ilmu ini (fiqh).

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Design by SUNNAH STUDIO | Bloggerized by TERBITAN MUKMIN - Premium Blogger Themes | MADU KEIMANAN, SUNNAH STUDIO