Rabu, 23 November 2011
Hukum Mengqada' Sembahyang
Tidak ada khilaf di kalangan fuqaha' bahawa perempuan yang berhaidh  tidak perlu mengqada'kan sembahyangnya apabila ia telah suci, kecuali  satu pendapat yang dinukilkan daripada sekumpulan puak Khawarij yang  mewajibkan qada,' bagi sembahyang yang luput semasa hari-hari haidh.  Pendapat ini bercanggah dengan ijma' para ulama. Namun begitu jika  wanita itu mengqada'kan sembahyangnya setelah ia suci, adakah  sembahyangnya sah atau ia dikira mencampuradukkan ibadat yangg fasid  yang dilarang daripadanya? Pengarang kitab al-Muhimmat menukilkan  pendapat daripada Ibn Solah, al-Nawawi, dan al-Baidhawi yang menyebutkan  bahawa perbuatan itu haram kerana Aisyah r.a melarang orang yang  bertanyakannya tentang masalah itu daripada menunaikan sembahyang. Ini  juga kerana melakukan qada' adalah terhadap sesuatu yang diperintah  untuk dilakukan. Satu pendapat yang dinukilkan daripada Ibn aI-Solah,  al-Ruyani dan at-'Ajli menyebutkan ianya makruh dilakukan. Al-Khatib  mengatakan, menurut wajah yang paling kuat adalah  seperti yang  dikatakan oleh guru kami iaitu tidak haram. Ini tidak sedikitpun  berkaitan dengan larangan Aisyah r.a. Berdasarkan kepada pendapat ini  maka adakah sembahyang yang dilakukan itu sah atau tidak? Menurut wajah  yang paling kuat sembahyang itu tidak sah kerana pada asalnya jika  sembahyang itu tidak diperintahkan maka tidak sahlah ia dilakukan. Dalam  hal berpuasa yang diwajibkan qada' terhadap wanita haidh adalah kerana  adanya perintah baru yang datang daripada Nabi shallallaahu `alaihi  wasallam.



7:43 PG
terbitan mukmin
 Posted in:  
0 ulasan:
Catat Ulasan