Sabtu, 15 Mei 2010

SIRI ILMU TASAUF : Pendahuluan



PENDAHULUAN

Makna Ilmu Tasauf
Ilmu tasauf itu adalah ilmu untuk mengetahui perlakuan hati sma ada perlakuan terpuji seperti merendah diri dan sabar mahupun perlakuan yang tercela seperti hasad dengki dan besar diri

Faedahnya
Mengosongkan hati daripada perkara selain daripada Allah SWT dan dihiasinya dengan pandangan melihat kepada Tuhan Sekalian Alam

Tempat Hantarannya
Tempat hantarannya itu ialah hati manusia yang berupa pihak perlakuan yang datang kepadanya.

Hukumnya
Hukumnya adalah fardhu Ain ke atas setiap orang yang berakal dan sudah cukup umur.

Tempat Pengambilannya
Tempat Pengambilan ilmu ini daripada Al-Quran yang mulia dan Hadis Nabi SAW


NAMA ILMU INI IALAH "ILMU TASAUF"

Maksud Ilmu Tasauf
Ketahuilah bahawa Ilmu Tasauf bermaksud menyuci bersihkan kesemua anggota yang zahir daripada segala perbuatan yang keji agar hati menjadi suci bersih daripada segala sifat yang tercela. Apa yang dimaksudkan dengan kesemua anggota yang zahir itu ialah tujuh anggota jasad :

Pertama : Mata

Kedua : Telinga

Ketiga : Lidah

Keempat : Perut

Kelima : Kemaluan (Faraj)

Keenam : Kedua-dua Tangan

Ketujuh : Kedua-dua Kaki

Ingatilah selalu di dalam hatimu bahawa Allah SWT telah memberikan nikmat yang begitu banyak padamu yang berupa nikmat yang besar-besar iaitu keseluruhan anggotamu yang wajib anda pelihara dan mensyukurinya. Jika anda enggan dan tidak menjaganya, pasti kesemua anggota anda tersebut akan menjadi saksi ke atasmu pada hari Qiamat nanti.
bersambung...

Isnin, 3 Mei 2010

DOA : ayatul Qursi

Maksudnya :



Allah, tidak ada yang benar disembah hanya Dia yang Hidup dan Maha Kaya, tidak pernah ditimpa mengantuk dan tidak pernah tidor, bagin Nya sesuatu yang ada di langit dan di bumi, tidak ada yag boleh memberi syafaat kecuali denga izin Nya. Ia maha mengetahui segala apa yang terjadi di hadapan mereka dan dibelakang mereka. Tidaklah mereka meliputi ilmunya sedikit jua kecuali yang dikehendakki Nya. Lebih luas kerusinya dari langit dan bumi. Tidak susah bagi Nya memelihara keduanya. Ia maha Tinggi dan maha Besar.



Penjelasan :



Ayat Qursi disebut dengan perkataan Ayatul Qursi kerana di dalam ayat ini mengandungi perkataan Kursi yang memberi maksud tempat duduk yang megah lagi mempunyai martabat. Sesetengah pihak menyandarkan Kursi ini adalah tempat duduk Tuhan. Hakikatnya bukan begitu. Beranggapan demikian boleh membawa kepada kekufuran! Ini kerana jika seseorang itu mengatakan tempat duduk Allah, bererti Allah itu duduk sedangkan Allah itu tidak duduk. Duduk itu merupakan sifat makhluk dan Maha Suci Allah daripada menyamai dengan sifat makhluk.Sebagaimana ayat Al-Quran dalam surah As-Syuura Ayat yang kesebelas :







Maksudnya :



Allah Pencipta langit dan bumi. Dia menjadikan bagi kamu pasangan-pasangan dari jenis kamu sendiri, dan menjadikan dari jenis haiwan ternak pasangan- pasangan (juga). Dijadikan kamu berkembang biak dengan jalan itu. Tiada sesuatupun yang serupa dengan Dia, dan Dialah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.



Ayat "Tiada sesuatupun yang serupa dengan Dia" menunjukkan bahawa segala makhluk yang diciptakan oleh Allah SWT tidak menyamai langsung dengan Allah SWT sama ada dari segi sifat, dari segi zat, mahupun dari segi perbuatan. Bahkan setiap apa yang lahir dari pemikiran kita tentang Zat Allah SWT adalah bukan ZatNya yang Qadim lagi Azali. Jadi, perlu difahami bahawa perkataan Kursi di sini bukannya bermaksud bahawa kerusi tempat duduk Tuhan, tetapi Kursi itu adalah merupakan syiar kebesaran Allah SWT.

Tuhan jadikan Kursi itu meliputi tujuh lapis langit dan Bumi. Bahkan jika dibandingkan dengan kebesaran Kursi tersebut dengan Arasy Allah adalah diibaratkan seperti sebentuk cincin di tengah padang pasir yang luas.Begitulah kemegahan dan kebesaran Allah SWT.





Ayat Kursi ini diturunkan pada suatu malam setelah hijrah. Menurut riwayat, ketika ayat Kursi ini diturunkan, ia diiringi oleh beribu-ribu malaikat sebagai penghantarnya bagi menunjukkan kemuliaan dan kebesarannya. Bermula penurunan ayat tersebut, maka gemparlah seluruh bala tentera Iblis dan Syaitan kerana ia menjadi petanda bahawa telah wujud satu halangan kepada perjuangannya menyesatkan cucu cicit Nabi Adam.









KHASIAT AYAT KURSI :

Imam Ghazali menerangkan dalam kitabnya, Khawasul Qur'an : bahawa ibnu Kutaibah meriwayatkan suatu peristiwa yang berlaku di negeri Basrah, iaitu salah seorang pedagang Kurma yang bernama Ka'ab telah pergi ke negeri Basrah dengan membawa bersama barang dagangannya untuk dijual di pasar-pasar di Basrah. Setelah Ka'ab sampai di sana, dia mencari tempat untuk menginap tetapi kebanyakannya tempat di kawasan tersebut telah penuh oleh pedagang-pedagang yang datang lebih awal ke tempat tersebut. Kemudian terpandanglah Ka'ab akan sebuah rumah yang kosong dan tidak berpenghuni. Kelihatannya rumah itu agak uzur dan dipenuhi dengan sarang labah-labah sepertinya telah lama tidak didiami manusia. Lalu Ka'ab pun berjumpa dengan tuan rumah dan meminta untuk tinggal di situ selama seminggu.Maka tuan rumah itu mengatakan bahawa rumah ini sangat pelik dan selalu menjadi buah mulut orang ramai. Kata orang, rumah ini didiami jin Ifrit. Rmai orang yang mendiaminya binasa. Ka'ab pun berkata, meskipun begitu, disebabkan tempat lain sudah tiada, saya sedia untuk tinggal di sini, asalkan tuan mengizinkan saya untuk tinggal.





"Baiklah", kata tuan rumah. "saya tidak keberatan dan saya tidak akan meminta sebarang bayaran pun". Kaab pun mula tinggal di rumah itu. Pada siang harinya, tiada apa pun yang berlaku namun, sesuatu yang tidak diduga berlaku pada waktu malam. Kaab terlihat bayangan hitam dengan dua belah mata menyala-nyala seperti api mendekati Kaab. Maka pada ketika itulah Kaab bangun dan membaca:" Allaahu laa ilaaha illaa huwalhayyul qayyuum" tetapi bayangan hitam itu mengikut setiap patah perkataan yang dibaca oleh Kaab sehinggalah menghampiri ayat yang akhir. Apabila Kaab membaca ayat yang berbunyi "walaa ya uudhuhu hifzuhuma wahuwal 'aliyyul 'aziim", tiada lagi kedengaran suara tersebut mengikuti bacaannya. Setelah berulang-ulang kali membacanya, bayangan hitam tersebut hilang dari pandangan Kaab dan tercium bau seperti ada sesuatu yang terbakar. Kemudian, Kaab pun tidur di tempat tersebut tanpa gangguan apapun.





Pada esok paginya, Kaab melihat kesan seperti sesuatu telah tebakar di sudut rumah dan kelihatan ada abu. Saat itulah Kaab terdengar suatu suara berkata : " Hai Kaab, engkau telah membakar jin Ifrit yang ganas." Merasa hairan dengan hal tersebut lalu Kaab bertanya : "Dengan apakah aku membakarnya?" Jawab suara itu: " Dengan firman Tuhan, 'walaa ya uudhuhu hifzuhuma wahuwal aliyyul aziim"





2. Sesiapa membaca ayat Kursi setiap kali selesai sembahyang fardhu, pada waktu pagi dan petang, setiap kali masuk ke rumah dan ke pasar, setiap kali masuk ke tempat tidur dan pergi musafir, insya Allah akan diamankan dari godaan Syaitan dan kejahatan raja-raja yang kejam, diselamatkan dari kejahatan manusia dan haiwan yang berbisa dan memudharatkan, terpelihara dirinya dan keluarganya, anak-anaknya, hartanya, rumahnya dari sebarang kecurian, karam di lautan dan kebakaran, mendapat keselamatan dan kesihatan jasmanisnya dengan izin Tuhan Yang Hidup dan Berdiri Sendiri ( Maha Kaya). Demikianlah apa yang terdapat dalam keterangan Kitab Khawasul Qur'an, karangan Imam Al-Ghazali.





3. Barangsiapa mengamalkan membaca ayat Kursi, setiap kali membaca sebanyak lapan belas kali, Insya Allah dia akan hidup berjiwa Tauhid, dibukakan dadanya dengan berbagai nikmat, dimurahkan rezeki, dinaikkan martabatnya, diberikan kepadanya pengaruh sehingga orang selalu segan kepadanya, dipeliharakan dari segala bencana dengan izin Allah SWT. begitulah keterangan dalam kitab Asrorul Mufidah.

SIRI ILMU FEKAH : Bab Solat

Ahad, 2 Mei 2010

SIRI ILMU AKIDAH : Pengertian Ahlussunnah Wal Jama’ah



1. AHL bererti keluarga, golongan atau pengikut.
2. AL-SUNNAH iaitu segala sesuatu yang telah diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. Maksudnya, semua yang datang dari Nabi s.a.w.
Berupa perbuatan, ucapan dan pengakuan Nabi s.a.w.
(Didalm kitah Fath al-Bari syarah Shahih Bukhari, juz XII, m.s.245).
3. AL-JAMA’AH iaitu apa yang telah disepakati oleh para sahabat
Rasulullah s.a.w. pada masa Khulafa ar-Rasyidin (Khalifah Abu Bakar r.a., Umar bin al-Khattab r.a., Utsman bin Affan r.a., dan Ali bin Ali Thalib r.a.). Kata al-jama’ah ini diambil dari sabda Rasulullah s.a.w. :
“Barangsiapa yang ingin mendapatkan kehidupan yang damai di syurga, maka hendaklah ia mengikuti al-jama’ah (kelompok yang menjaga kebersamaan)”.
(H.R al-Tirmidzi (2091), dan al-Hakim (1/77-78) yang menilainya shahih dan disetujui oleh al-Hafizh al-Dzahabi).
4. Syeikh Abdul Qadir al-Jailani (471-561 H/1077-1166 M) menjelaskan:
Al-Sunnah adalah apa yang telah diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. (meliputi ucapan, perilaku, serta ketetapan beliau). Sedangkan al-Jama’ah adalah segala sesuatu yang telah menjadi kesepakatan para sahabat Nabi s.a.w. pada masa Khulafa ar-Rasyidin yang empat, yang telah diberi hidayah (mudah-mudahan Allah member Rahmat kepada mereka semua)”.
(Di dalam Al-Ghunyah li Thalibi Thariq al-Haqq, juz I, m.s. 80)
5. Lebih jelas lagi, Hadhratus Syeikh KH. Hasyim Asy’ari (1287-1336 H/1871-1947 M) menyebutkan di dalam kitabnya “Ziyadat Ta’liqat”
m.s. 23-24.
“Adapun Ahlussunnah Wal-Jama’ah adalah kelompok ahli tafsir, ahli hadith dan ahli fiqih. Merekalah yang mengikuti dan berpegang teguh dengan sunnah Nabi s.a.w. dan sunnah Khulafa ar-Rasyidin sesudahnya. Mereka adalah kelompok yang selamat (al-firqah al-najiyah). Mereka mengatakan, bahawa kelompok tersebut sekarang ini terhimpun dalam mazhab yang empat, iaitu mazhab Hanafi. Maliki, Syafi’i dan Hanbali”.
Pada hakikatnya ajaran Nabi s.a.w. dan para sahabatnya tentang akidah itu sudah termaktub di dalam al-Quran dan as-Sunnah. Akan tetapi masih berselerakan dan tidak tersusun secara sisitematik. Baru pada masa setelahnya, ada usaha dari ulama’ Usuluddin yang besar iaitu Imam Abu Hassan Asy’ari yang lahir di Basrah tahun 260 H dan wafat pada tahun 324 H, juga Imam Abu Mansur al-Maturidi yang lahir di Samarkand, Uzbekistan dan wafat pada tahun 333 H. Maka Abu Hassan Asy’ari telah merumuskan Ilmu Tauhid ini secara sistenatik agar mudah difahami. Kedua ulama’ tersebut telah menulis kitab-kitab yang cukup banyak. Imam Abu Hassan Asy’ari menulis kitab “Tabyiin Kazbul Muftari”, “an-Nawadir”, “Maqalat al-Islamiyyin” dan lain-lain. Manakala Imam Mansur al-Maturidi menulis kitab “al-Tauhid”, Ta’wilat Ahl al-Sunnah dan lain-lain. Kerana jasa yang besar kedua ulama’ tersebut, sehingga penyebutan Ahlussunnah Wal Jama’ah selalu dikaitkan dengan kedua ulama’ tersebut.
Berkata Sayyid Murtadha al-Zabidi di dalm kitabnya “Ithah al-Sadah al-Muttaqin”, juz 2, m.s. 6.
“Jika disebut Ahlus Sunnah wal-Jama’ah maka yang dimaksudkan adalah para pengikut Imam Abu Hassan Ays’ari dan Imam al-Maturidi”
Dari penjelasan di atas, dapat di fahami bahawa Ahlussunnah wal Jama’ah bukanlah aliran baru yang muncul tetapi di hidupkan kembali oleh Imam Abu Hassan Asy’ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi. Imam Abu Hassan Asy’ari menghidupkan kembali Akidah yang dibawa oleh Nabi s.a.w. dahulu. Selepas kewafatan Nabi s.a.w., lahir aliran-aliran menyimpang dari agama islam sebagaimana yang disebut didalam beberapa hadis Nabi s.a.w. yang shahih, antaranya:
Rasulullah s.a.w. bersabda :
Ertinya : “Bahwasanya Bani Israil telah berfirqah-firqah sebanyak 73 millah (firqah) dan akan berfirqah umatku sebanyak 73 firqah, semuanya masuk neraka kecuali satu”. Sahabat-sahabat yang mendengar ucapan ini bertanya “Siapakah yang satu itu Ya Rasulullah?” Nabi menjawab : “Yang satu itu ialah orang yang berpegang (beri’tiqad) sebagai peganganku (I’tiqadku) dan pegangan sahabat-sahabatku”.
(Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi, lihat Shahih Tirmidzi juz X, m.s. 109)
Dalam hadist yang lain Rasulullah s.a.w. bersabda :
Ertinya : “Demi Tuhan yang berkuasa ke atas Muhammad, akan berfirqah umatku sebanyak 73 firqah, yang satu masuk syurga dan yang lain masuk neraka”. Bertanya para sahabat : “Siapakah firqah (yang tidak masuk neraka itu ya Rasulullah?” Nabi menjawab : “Ahlussunnah Wal Jama’ah”.
(Hadist ini diriwayatkan oleh Imam Thabarani).
Pengajian akidah yang disusun oleh Imam Abu Hassan Asy’ari iaitu “Sifat 13 dan ditambah oleh Imam Abu Mansur al-Maturidi 7 sifat maknawiyah tetapi Abu Hassan Asy’ari tidak menolak sifat maknawiyah ini. Bagi Abu Hassan Asy’ari 13 sifat ini sudah memadai tetapi bukan bermakana beliau menolak.

SENARAI SIFAT 20
1.Wujud (ada)
2.Qidam (sedia kala)
3.Baqa’ (kekal)
4.Qiamuhu Binafsih (tidak berhajat kepada sesuatu pun)
5.Mukhalafatuhu lilhawadis (tidak menyerupai makhluk)
6.Wahdaniyat (esa)
7.Qudrat (pekuasa)
8.Iradat (pekehendak)
9.Ilmu (pengetahuan
10.Hayat (hidup)
11.Sama’ (pendengar)
12.Bashar (penglihat)
13.Kalam (pekata)

SIFAT MA’NAWIYAH YANG DITAMBAH OLEH IMAM ABU MANSUR AL-MATURIDI
14.Kaunuhu Qadiran (keadaan Dzat Allah ada sifat pekuasa)
15.Kaunuhu Muridan (keadaan Dzat Allah ada sifat pekehendak)
16.Kaunuhu Aliman (keadaan Dzat Allah ada sifat pengetahuan)
17.Kaunuhu Hayyan (keadaan Dzat Allah ada sifat hidup)
18.Kaunuhu Sami’an (keadaan Dzat Allah ada sifat pendengar)
19.Kaunuhu Bashiran (keadaan Dzat Allah ada sifat penglihat)
20.Kaunuhu Mutakalliman (keadaan Dzat Allah ada sifat pekata)
v Ini hanya terjemahannya, bukan pembahasannya, wajib kepada setiap orang yang mukallaf mempelajari (megetahui pembahasannya) Akidah sifat dua puluh untuk mengesahkan amal ibadat kita dan menjauhkan kita daripada mensyirikkan Allah dengan menyamakan Allah dengan makhlukNya. Saya menyeru kepada sahabat-sahabat saya carilah guru yang boleh mengajar Akidah sifat dua puluh kerana inilah akidah yang sahih (benar). INGATLAH “AKIDAH YANG BENAR IBADAH YANG SAH”. Sekiranya akidah kita salah dan tidak betul, maka segala amalan kita tertolak dan kita kekal di dalam neraka buat selama-lamanya. Hanya orang yang beriman dan bertaqwa di janjikan syurga oleh Allah SWT.
v Kesimpulannya janganlah kita keliru dengan penambahan yang di lakukan oleh Imam Abu Mansur al-Maturidi. Perbezaan Imam Abu Hassan Asy’ari dengan Imam Abu Mansur al-Maturidi hanyalah dari segi bilangan sifat Allah sahaja.

KENAPA SIFAT ALLAH ADA DUA PULUH?
Kadang kala ada pertanyaan, “mengapa sifat Allah yang wajib di ketahui oleh orang mukallaf hanya dua puluh sifat? Bukankah sifat-sifat Allah yang terdapat dalam al-Asma’ al-Husna ada Sembilan puluh Sembilan?’
Perlu diketahui bahawa Ahlussunnah Wal Jama’ah tidak membatasi sifat-sifat Allah menjadi dua puluh sifat. Ahlussunnah Wal Jama’ah menetapkan sifat dua puluh kerana sifat dua puluh itu adalah sifat Dzat Allah yang menjadi syarat ketuhanan (syarthul uluhiyyah). Sedangkan sifat-sifat Allah yang lain adalah sifat af’al (sifat yang berkaitan dengan perbuatan Allah). Dan sifat Al-Af’al Allah itu jumlahnya banyak serta tidak terbatas.
Wajib kita beri’tiqad bahawasanya sifat Allah itu banyak dan wajib kita tahu hanya sekadar dua puluh sifat untuk mengesahkan Iman kita.
Selepas kewafatan Imam Abu Hassan Asy’ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi, maka ulama’ yang datang selepas mereka, majoritinya berpegang dengan manhaj yang di susun oleh Imam Abu Hassan Asy’ari di dalam bab akidah, di dalam bab Feqah mereka berpegang dengan mazhab yang empat iaitu Imam Hanafi (80 H-150 W), Imam Maliki (93 H-176 W), Imam Syafi’i (150 H-820 W), Imam Hanbali ( 164 H-241 W). Manakala dalam Tasawuf pula mereka berpegang dengan Sheikh Junaid al-Baghdadi (W 297). Mazhab yang paling masyhur di dunia iaitu mazhab Syafi’i, sebagaimana yang dikhabarkan oleh Nabi s.a.w. sabdanya:
“Janganlah kamu mencela orang berketurunan Quraisy, maka sesungguhnya akan muncul seorang ‘alim dari keturunan Quraisy yang ilmunya memenuhi di seluruh dunia “

SENARAI ULAMA’-ULAMA’ YANG MUKTABAR BERPEGANG DENGAN AKIDAH IMAM ABU HASSAN ASY’ARI.
1. Imam Abu Bakar Al-Qaffal (wafat 365 H)
2. Imam Abu Ishaq Al-Asfarani (wafat 411 H)
3. Imam Al-Hafiz Al-Baihaqi (wafat 458 H)
4. Imam Qasim Al-Qusyairi (wafat 465 H)
5. Imam Al-Baqilani (wafat 403 H)
6. Imam Al-Ghazali (wafat 505 H)
7. Imam Fakhruddin Ar-Razi (wafat 606 H)
8. Al-Hafizh Taqiyy ad-Din Ali bin Abd al-Kafi as-Subki (W 765 H)
9. Al-Hafizh al-Faqih Waliyy ad-Din al ‘Iraqi (W 862 H)
10. Ibnu Hajar al-Haitami (W 974 H)
11. Syeikh Taqiyy ad-Din al-Husni, (W 826 H)pengarang kitab “Kifayatul Akhyar”
12. Al-Hafizh Ibnu Hajar al-Asqalani (W 852 H) yang mensyarah kitab Shahih Bukhari, nama kitab beliau “Fath al-Bari” yang menjadi rujukan seluruh ulama’ di dunia.
13. Al Imam Al Hafizh An-Nawawi yang mensyarah kitab Shahih Muslim.
14. Imam Baihaqy didalam kitabnya “Al Asma’ Was Sifat”
15. Imam Ibnu As-Sakir (H 550-620 W)
16. Imam Al Hafizh As Suyuthi
17. Imam Abdul Qadir Jailani
18. Imam Abu Mansur al-Baghdadi
19. Al Hafizh Azd Dzahabi (mantan murid Ibnu Taimiyah)
20. Murthada Azd Dzabidi
21. Imam Nasafie
22. Imam Ibrahim Laqqani
23. Imam Asy Syarbini
24. Al-Sheikh Al-Hafiz Abu Al-Fadl Abdullah Al-Siddiq Al-Ghumari
25. Asy Sayyid Muhammad ‘Alawi
26. Al Imam Sayid Ahmad Ibn Zaini Dahlan Al Hasani

SIRI ILMU TASAWUF : Penawar Bagi Hati



PENDAHULUAN

Kita seringkali membicarakan soal hati yang diibaratkan seperti raja kepada sekalian anggota tubuh badan. Pepatah sendiri mengatakan, "Rosak hati badan binasa". Sebagaimana hadis Rasulullah SAW pernah menyebut,

“Ingatlah bahawa dalam jasad ada segumpal daging, jika ia baik, maka baiklah jasad seluruhnya; jika ia rosak, maka rosaklah jasad seluruhnya. Ketahuilah bahawa segumpal daging itu adalah hati.” (Imam Bukhari dan Muslim).

Hadis ini mengingatkan tentang kedudukan hati yang begitu tinggi dalam diri manusia. Oleh kerana itulah, manusia perlu kepada penjagaan hati yang begitu rapi untuk memperoleh kesucian jiwa yang hakiki. Orang yang tidak mejaga hati mereka dengan sempurna pasti tidak akan terlepas daripada sikap yang buruk seperti sombong, takabur, dengki dengan kelebihan yang ada pada orang lain, bongkak dengan apa yang ada pada diri sendiri, mengadu domba antara manusia, memfitnah sesama saudara, marah dan lain-lain lagi. Tanya pada diri, hakikatnya mengapa begini jadinya? maka jawablah, tuntutan kepada material dan kebendaan dan hawa nafsu yang kerap mengganggu gugat hati manusia. 


Mengenal nafsu adalah cukup mudah. Namun, menundukkannya adalah amat payah. Sifat hati adalah sentiasa inginkan teman, sama ada bertemankan Iblis laknatullah ataupun Malaikat. Nafsu pula bersifat sementara, iaitu setelah keinginannya tercapai, maka ia akan merasa puas dengan apa yang diperolehnya, tetapi ia berkeinginan kepada lebih dari itu. Beruntunglah bagi mereka yang membenarkan hatinya berkawan dengan malaikat, kerana hatinya akan sentiasa mengarah anggota tubuh badannya ke arah kebaikan. Segala tingkah lakunya adalah bertunjangkan kepada perbuatan yang diredhai oleh Allah. Namun, rugilah bagi mereka yang menundukkan hati mereka kepada nafsu dan juga Syaitan, kerana bisikan hatinya bukanlah lagi ke arah kebenaran, bahkan boleh mengundang kepada kemurkaan Allah SWT.

Apabila hati itu telah bersih, pasti tuannya akan sentiasa mencari jalan menuju Allah SWT dalam keadaan jiwa yang tenang, aman damai dan tenteram, sentiasa ingat kepada Allah SWT, merasa cukup dengan apa yang ada, beramal soleh dan taat akan segala perintah Allah SWT. Oleh itu, bimbinglah hati kita dengan sebaik mungkin sebagai usaha membersihkan hati dari keadaan yang kotor kepada kemurniaan. Tujuannya tidak lain dan tidak bukan adalah semata-mata untuk mengenal Allah SWT dan menghampirkan diri kepadaNya dalam mecari keredhaan-Nya.Carilah seorang doktor hati yang pakar dalam bidang kerohanian dalam membaiki hati dan juga hal-hal kebatinan yang ada dalam diri kita ini. Ambillah bai'ah dan talkin daripadanya, mudah-mudahan kita dapat membersihkan hati ini sebaik mungkin. 

Begitu juga diwajibkan ke atas setiap mukallaf (akil yakni berakal, baligh yakni cukup umur, sampai seruan, sempurna hawasyi yakni tidak cacat pendengaran dan penglihatan)mempelajari ilmu tasauf yang merupakan ilmu bagi mengetahui segala perlakuan hati sama ada perlakuan terpuji mahupun tercela. Apakah itu ilmu tasauf? Insya Allah, kita akan bincangkan dengan lebih lanjut pada perbincangan yang akan datang. Sebagai hamba yang dhaif, saya memohon maaf sekiranya ada kekurangan pada catatan ini, maka itu bermakna kurangnya pengetahuan yang ada pada diri saya.

Akhir kalam, semoga apa yang ditulis memberi manfaat kepada diri saya sendiri, orang muda mahupun tua, saudara-saudara pencinta Ilmu tasauf, sahabat-sahabat dan seluruh Muslimin dan Muslimat.Wallaahu a'lam.

 
Design by SUNNAH STUDIO | Bloggerized by TERBITAN MUKMIN - Premium Blogger Themes | MADU KEIMANAN, SUNNAH STUDIO