Rabu, 23 November 2011

Sucinya Wanita Yang Berhaidh Pada Akhir Waktu

Tidak ada khilaf di kalangan ulama bahawa:

Apabila seorang wanita yang berhaidh atau bernifas telah suci dan baki waktu sembahyang masih ada sekadar sempat dilakukannya satu rakaat maka ia wajib menunaikan sembahyang itu, berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w:

"Barangsiapa sempat mendapat satu rakaat daripada sembahyang maka ia mendapat sembahyang itu ".
(hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadith ini bermaksud bahawa orang yang tidak sempat mendapat satu rakaat maka ia tidak dikira mendapat sembahyang itu.

Jika perempuan itu suci dan waktu sembahyang yang tinggal hanyalah mencukupi untuk melakukan takbiratul ihram atau kurang daripada satu rakaat, seperti ia suci sebelum terbit matahari dan waktu yang masih tinggal hanya sekadar sempat melakukan takbiratul ihram, maka dalam hal ini terdapat dua qaul. Menurut pendapat yang asah apabila wanita itu selesai bersuci maka ia wajib mengqada' sembahyang subuh kerana ia telah mendapati satu bahagian dari waktu subuh, oleh itu ia samalah seperti orang yang sempat mendapat jamaah ( dalam sembahyang beljemaah). Begitu juga, wanita itu wajib mengqada'kan sembahyang waktu yang sebelumnya jika waktu yang sebelum itu boleh dijama'kan dengan waktu yang ia sedang berada. Maka ia wajib sembahyang zohor dan asar jika ia suci dan sempat mendapatkan satu takbiratul ihram ketika akhir waktu asar dan sembahyang maghrib dan 'isya jika ia suci dan sempat mendapatkan takbiratul ihram pada akhir waktu 'isya'. Ini kerana waktu yang kedua juga merupakan waktu yang pertama dari sudut keharusan menjama'kan antara kedua-dua sembahyang itu, maka begitulah juga dari sudut kewajipan menunaikan kedua-dua sembahyang itu.

Pendapat kedua mengatakan:
Untuk mewajibkan seorang wanita yang suci daripada haidhnya menunaikan sembahyang maka disyaratkan ia sempat mendapat satu rakaat pada waktunya, sama halnya seperti sembahyang jumaat. Sembahyang jumaat tidak diperolehi dengan kurang daripada satu rakaat. Oleh itu apabila wanita yang berhaidh sempat mendapat satu ruang di dalam waktu yang tidak mencukupi untuk ditunaikan satu rakaat yang sempurna maka sembahyang itu tidak wajib ke atasnya

sekadar gambar hiasan

HAKIKAT NIFAS DARI SUDUT BAHASA DAN SYARA'

Nifas pada bahasa bererti bersalin. Apabila seorang
wanita bersalin ia dikenali sebagai nufsa', dan wanita-wanita
yang bersalin dipanggil nifas.
Dari sudut syara' ia bererti darah yang keluar
selepas bersihnya rahim daripada kandungan atau
dengan kata lain, darah yang keluar sebaik sahaja
bersalin atau selepasnya. Ini merupakan takrif di
kalangan ulama Syafie. Golongan Hanbali mentakrifkan
nifas sebagai darah yang keluar dari rahim selepas
keluarnya bayi atau keluar sebahagian besar tubuh bayi
walaupun secara terputus-putus satu anggota demi satu
anggota dan bukannya sebabagian kecil yang keluar.
Ulama Maliki mentakrifkan nifas sebagai darah yang
keluar dari kemaluan hadapan kerana bersalin samada
keluar serentak dengan bersalin atau selepasnya, bukan
yang keluar sebelumnya walaupun darah yang keluar di
antara dua anak kembar. Golongan Hanbali
mentakritkannya sebagai darah yang keluar dari rahim
kerana bersalin samada serentak atau selepas atau
sebelumnya selama dua hari atau tiga hari berserta rasa
sakit hendak bersalin.

Hukum Mengqada' Sembahyang

Tidak ada khilaf di kalangan fuqaha' bahawa perempuan yang berhaidh tidak perlu mengqada'kan sembahyangnya apabila ia telah suci, kecuali satu pendapat yang dinukilkan daripada sekumpulan puak Khawarij yang mewajibkan qada,' bagi sembahyang yang luput semasa hari-hari haidh. Pendapat ini bercanggah dengan ijma' para ulama. Namun begitu jika wanita itu mengqada'kan sembahyangnya setelah ia suci, adakah sembahyangnya sah atau ia dikira mencampuradukkan ibadat yangg fasid yang dilarang daripadanya? Pengarang kitab al-Muhimmat menukilkan pendapat daripada Ibn Solah, al-Nawawi, dan al-Baidhawi yang menyebutkan bahawa perbuatan itu haram kerana Aisyah r.a melarang orang yang bertanyakannya tentang masalah itu daripada menunaikan sembahyang. Ini juga kerana melakukan qada' adalah terhadap sesuatu yang diperintah untuk dilakukan. Satu pendapat yang dinukilkan daripada Ibn aI-Solah, al-Ruyani dan at-'Ajli menyebutkan ianya makruh dilakukan. Al-Khatib mengatakan, menurut wajah yang paling kuat adalah  seperti yang dikatakan oleh guru kami iaitu tidak haram. Ini tidak sedikitpun berkaitan dengan larangan Aisyah r.a. Berdasarkan kepada pendapat ini maka adakah sembahyang yang dilakukan itu sah atau tidak? Menurut wajah yang paling kuat sembahyang itu tidak sah kerana pada asalnya jika sembahyang itu tidak diperintahkan maka tidak sahlah ia dilakukan. Dalam hal berpuasa yang diwajibkan qada' terhadap wanita haidh adalah kerana adanya perintah baru yang datang daripada Nabi shallallaahu `alaihi wasallam.

HAKIKAT HAIDH DARI SUDUT BAHASA DAN SYARA'

Para ulama Islam bersependapat bahawa darah yang keluar dari kemaluan wanita terbahagi kepada tiga, iaitu:

1. Darah haidh: Darah yang keluar ketika seseorang berada dalam keadaan sihat.
2. Darah nifas: Darah yang keluar selepas bersalin.
3. Darah istihadhah: Darah yang keluar bukan pada masa haidh dan nifas dan ia dikira sebagai darah penyakit.

Darah haidh mempunyai pengertian yang tersendiri dari sudut bahasa dan syara'. Dari sudut bahasa haidh bererti mengalir. Oleh itu orang Arab menyebutkan haadhal wadi yang  bermaksud oasis yang mengalir airnya. la dinamakan haidh kerana ia mengalir pada waktu-waktunya yang tertentu. Dari sudut syara' ia bererti darah semulajadi yang keluar dari dalam rahim wanita setelah sampai peringkat baligh ketika dalam keadaan sihat tanpa apa-apa sebab pada waktu-waktu yang tertentu.

Pengarang kitab al-Hawi menyebutkan:


Perkataan mahidh pada firman Allah Taala:
وَيَسْئَلُونَكَ عَنِ الْمَحِيْضِ

Dan mereka bertanya kepadamu tentang mahidh
(al-Baqarah 222)


bermaksud darah haidh dengan ijma' ulama.Sementara perkataan mahidh pada firman Allah :

فَاعْتَزَِلُوا النِّسَاءَ فِى الْمَحِيْضِ

Maka jauhilah wanita pada mahidh

ada yang· mengatakan ianya bermaksud darah haidh dan ada yang mengatakan ia bermaksud masa haidh dan tempatnya iaitu faraj. Beliau mengatakan bahawa ini adalah pendapat para isteri baginda s.a.w dan jumhur mufassirin(1). Haidh juga dinamakan sebagai adza (kotoran) kerana wamanya yang buruk di samping baunya yang busuk serta kenajisan dan kemudaratannya.

Nama-nama Haidh :

Terdapat sepuluh nama bagi haidh(2) iaitu:

  1. الحيض ( nama yang paling masyhur) 
  2. الطمث (wanitanya dikenali sebagai طامث)
  3. العراك ( wanitanya dikenali sebagai عارك)
  4. الضحق( wanitanya dikenali sebagai ضاحق)
  5. الاكبار ( wanitanya dikenali sebagai مكبر)
  6. الاعصار ( wanitanya dikenali sebagai معصر)
  7. الطمس ( wanitanya dikenali sebagai طامس)
  8. الدراس ( wanitanya dikenali sebagai دارس)
  9. الفراك ( wanitanya dikenali sebagai فارك)
  10. النفاس ( wanitanya dikenali sebagai نفساء)
Pendapat yang mengatakan banyaknya nama menunjukkan kemuliaan penama adalah berdasarkan perkara yang sering berlaku. Kadangkala banyaknya nama juga menunljukkan kejelekan penama seperti nama-nama haidh yang disebutkan ini.
Al-Jahiz di dalam kitab "al-Hayawan" menyebutkan: Makhluk bernyawa yang mempunyai haidh terdapat empat jenis iaitu, manusia, amab, dhubu' dan kelawar. Beliau menambah empat jenis binatang lagi iaitu unta, anjing, cicak dan kuda. Adanya haidh bagi empat jenis yang pertama adalah sabit secara kesepakatan ulama sementara empat yang akhir masih terdapat kelainan pendapat tentangnya. Selain daripada itu ada juga ditambah binatang yang lain iaitu bintu wardan (sejenis serangga seperti lipas) dan bintu 'irs (sejenis bintang lebih besar daripada tikus dan bertubuh panjang, memburu arnab)(3).



PENGENALAN ISTILAH-ISTILAH DALAM FIQH SYAFI'E

Azhar : Pendapat yang berasa daripada dua qaul atau lebih oleh Imam Syafi'e, di mana perselisihan dalam menentukan manakah qaul yang sebenarnya oleh Imam Syafi'e sangat kuat. Lantaran itu pendapat yang paling kuat dan terserlah hujahnya di antara qaul-qaul itu dikenali sebagai azhar. Sementara pendapat satu lagi yang berlawanan dengannya dikenali sebagai zahir kerana kekuatan dalil kedua-duanya.

Masyhur: Pendapat yang berasal daripada dua qaul atau lebih oleh Imam syafi'e, di mana dalam menentukan manakah qaul yang sebenamya oleh Syafi'e tidak terdapat perselisihan yang kuat. Qaul yang paling kuat dalam perselisihan ini dikenali' sebagai masyhur sementara lawannya dikenali sebagai gharib kerana kelemahan hujahnya.
Azhar dan Masyhur merupakan fatwa yang lahir daripada Imam Syafi'e sendiri.

Asah: Berasal daripada dua pendapat atau lebih oleh para ulama mazhab syafi'e di mana mereka memfatwakannya berdasarkan kepada pendapat Imam Syafi'e atau mereka mengistinbatkannya berdasarkan kepada kaedah-kaedah yang dipakai oleh Imam Syafi'e. Perselisihan di antara qaul-qaul itu sangat kuat. Oleh itu pendapat yang paling terserlah kekuatan dalilnya dikenali sebagai asah.

Sohih: Berasal daripada dua pendapat, atau lebih oleh para ulama mazhab syafi'e, tetapi perselisihan di antara pendapat-pendapat itu tidak kuat. Pendapat yang terkuat di antaranya dikenali sebagai Sohih, sementara lawannya merupakan qaul dhaif (lemah) kerana kesalahan hujahnya.

Asah dan Sohih merupakan fatwa yang lahir daripada ulama-ulama Syafi'e.

Wajah: Bererti pandangan atau fatwa yang lahir daripada ulama-ulama mazhab Syafi'e sementara istilah qaul diguna pakai untuk pendapat imam Syafie sendiri.

Mazhab: Berasal daripada dua jalan atau lebih iaitu perselisihan ulama-ulama Syafi'e dalam melaporkan tentang mazhab syafi'e, seperti sesetengah mereka melaporkan bahawa dalam masalah tertentu terdapat dua qaul oleh Imam Syafi'e atau dua wajah oleh para ashab (ulama-ulama mazhab Syafi'e), sementara sebahagian yang lain pula memutuskan bahawa satu sahaja di antara qaul-qaul itu oleh Imam Syafi'e. Maka qaul yang satu yang diputuskan ini diungkapkan dengan istilah  mazbab. Mazhab merupakan pandangan yang dikira sebagai fatwa dalam mazhb syafi'e.

Nas: Bererti nas (perkataan) Imam Syafi'e sendiri. Lawannya ialah wajah yang Dhaif atau qaul Mukharraj. Qaul Mukharraj merupakan hasil jawapan yang diberikan oleh Imam Syafi'e terhadap dua hukum yang berbeza tetapi dalam gambaran yang seakan-akan sama di mana tidak jelas tanda yang dapat membezakan di antara kedua-dua hukum itu. Lantaran itu para ulama mazhab Syafi'e telah menukilkan jawapan imam Syafi'e itu dengan menyatakan hukum itu pada dua keadaan yang dijawab oleh Syafi'e. Dengan itu setiap daripada dua jawapan itu menyebabkan timbulnya dua qaul, iaitu qaul mansus (Dipercayai sebagai pendapat Syafi'e yang sebenar) dan qaul Mukharraj. Menurut pendapat yang asah qaul Mukharraj tidak boleh dinisbahkan kepada imam Syafi'e kerana ada kemungkinan beliau menarik balik daripada berpendapat dengan qaul itu. walaupun begitu kadangkala sesuatu masalah difatwakan bukan berdasarkan kepada nas.

Jadid: Pendapat yang difatwakan oleh Imam Syafi'e semasa berada di Mesir samada pendapat yang dimuatkan dalam tulisannya atau yang disampaikan melalui fatwanya.

Qadim: Pendapat yang difatwakan oleh Imam Syafi'e semasa berada di Iraq yang dimuatkan dalam kitabnya al-Hujjah atau yang difatwakannya secara lisan. Imam Syafi'e telah menarik balik pendapat-pendapat ini dan tidak mengharuskan difatwakan dengannya Namun para ulama mazhab syafi'e telah memberikan fatwa berdasarkan pendapat qadim dalam kira-kira 17 masalah. Tentang pendapat Syafi'e semasa beliau berada di antara Mesir dan Iraq maka pendapatnya yang terkemudian dikenali sebagai jadid sementara pendapat yang awal dikenali sebagai qadim. Apabila dalam sesuatu persoalan terdapat fatwa Jadid dan qadim maka yang patut diamalkan ialah fatwa jadid.


 
Design by SUNNAH STUDIO | Bloggerized by TERBITAN MUKMIN - Premium Blogger Themes | MADU KEIMANAN, SUNNAH STUDIO