Isnin, 23 November 2009

Aqidah Ahli Sunnah Wal Jama‘ah

Kesemua aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah berlandaskan al-Qur’an, al-Hadith serta ijma‘ ulama. Ahli Sunnah menyifatkan Allah dengan sifat-sifat yang telah dinyatakan oleh Allah Ta‘ala sendiri di dalam al-Qur’an dan apa yang telah dinyatakan oleh Rasulullah di dalam hadith Baginda tanpa mereka menyandarkan sifat tasybih ( هيبشت ) atau tajsim ( ميسجت ) bagi Allah, mereka juga menafikan sifat duduk, bertempat, berkaki, berbetis, zat yang turun naik dari langit ke bumi, berada di atas langit, berada di atas ‘arasy, dan sebagainya dari sifat yang tidak layak bagi Tuhan yang mencipta segala makhluk-Nya. Ini semua berdasarkan firman Allah di dalam Surah al-Syura ayat 11 yang bermaksud:

Tiada sesuatupun yang menyerupai-Nya.”

Wujud-Nya Allah tanpa diliputi tempat berdalilkan juga dari sabda Nabi Muhammad yang bermaksud:

Allah telah sedia wujud (azali) dan tiada sesuatupun selain Allah itu azali.
(Riwayat al-Bukhariyy dalam Sahih al-Bukhariyy)

Ini menunjukkan bahawa Dia sahaja yang wujudnya azali manakala tempat, ‘arasy, langit, dan selainnya bukan azali.
Ijma‘ para ulama yang telah dinukilkan oleh Imam ‘Abd al-Qahir bin Tahir al-Baghdadiyy dalam kitab al-Farq Bayna al-Firaq ( قارفلا نيب قرفلا ) halaman 333 cetakan Dar al-Ma‘rifah jelas menunjukkan kewujudan Allah bukanlah berada di atas ‘arasy, akan tetapi Allah wujud tanpa diliputi oleh tempat:

Dan telah disepakati dan di-ijma‘-kan bahawa Allah tidak diliputi tempat.

Demikian ijma‘ para ulama yang tidak boleh ditolak lagi oleh golongan mujassimah ( ةمسجم ) dan musyabbihah ( ةهبشم ).

AQIDAH : Erti Aqidah Dan Kaitannya Dengan Amalan Salih

Aqidah membawa erti pegangan dan kepercayaan seseorang. Pegangan dan kepercayaan ini pula terbahagi kepada dua iaitu benar atau salah. Aqidah yang benar merupakan kunci kepada segala penerimaan ibadah. Tanpa aqidah yang benar Allah tidak akan menerima segala amalan salih. Sekiranya aqidah seseorang itu salah maka yang akan dicatit hanyalah amalan keburukan maka akan hanya dibalas dengan keburukan. Justeru itu, perkara yang berkaitan dengan aqidah tidak harus dijadikan gurauan senda atau diremeh-remehkan. Hubungan aqidah dan amalan salih ini berdalilkan firman Allah yang bermaksud:

Dan barangsiapa melakukan amalan salih dari kalangan lelaki ataupun wanita dalam ia beriman (beraqidah dengan aqidah yang betul) maka merekalah yang akan dimasukkan ke dalam syurga dan tidak akan dizalimi walaupun sedikit.”
(Al-Nisa’ ayat 124)

Ayat tersebut jelas menerangkan bahawa apa sahaja amalan salih yang dilakukan orang lelaki mahupun perempuan, imanlah syarat utama penerimaannya dari Allah. Begitu juga kenyataan dari hadith Nabi yang bermaksud:

Semulia-mulia amalan adalan beriman kepada Allah dan Rasul-Nya (beraqidah dengan aqidah yang betul).”
(Sahih al-Bukhariyy)

Ini menandakan bahawa aqidah merupakan sesuatu yang teramat penting dan perlu diutamakan dari masalah-masalah yang lain.

Para Ulama Mengutamakan Ilmu Aqidah

Oleh kerana pentingnya ilmu aqidah maka kita dapati seluruh para ilmuan Islam akan mengutamakan ilmu aqidah. Perkara ini dapat dipetik dari kenyataan Imam tertua di antara mazhab empat iaitu Imam Abu Hanifah menyatakan dalam kitab beliau Fiqh al-Absat ( طسبلأا هقف ) yang bermaksud:

Ketahuilah bahawa mendalami ilmu usuluddin (aqidah) itu lebih mulia dari mendalami ilmu fiqh.”

Kenyataan ini tidak bermakna kita tidak harus mempelajari ilmu fiqh langsung, akan tetapi Imam Abu Hanifah menerangkan kemuliaan mempelajari dan mengutamakan ilmu aqidah. Begitu juga para ulama yang lain mengutamakan ilmu ini seperti Imam yang menjadi pegangan mazhabnya di tanah air kita iaitu Imam Syafi‘iyy menyatakan yang bermaksud:

Kami telah mendalami ilmu tersebut (aqidah) sebelum ilmu ini (fiqh).

PENGENALAN

Alhamdulillah, segala puji-pujian bagi Allah Tuhan sekalian alam, Dia-lah yang mencipta ‘arasy, langit dan bumi, Dia-lah jua Pencipta tempat, wujud-Nya tanpa memerlukan tempat. Selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad, ahli keluarga dan para sahabat Baginda.

1. MUQADDIMAH
Dewasa kini seringkali kita mendengar banyak golongan yang asyik melabelkan diri mereka sebagai Ahli Sunnah Wal Jama‘ah. Akan tetapi adakah dengan hanya mengaku sedemikian sahaja tanpa bukti yang kukuh harus bagi kita pula menamakan mereka sebagai Ahli Sunnah Wal Jama‘ah?
Kita jua ketahui bahawa ancaman dan penentangan terhadap Ahli Sunnah Wal Jama‘ah yang sebenar datang dari pelbagai sudut termasuk wujudnya ajaran-ajaran songsang, aliran-aliran baru yang menyimpang, keganasan yang terkeluar dari erti jihad, isu murtad dan sebagainya. Apakah mawqif ( فقوم ) dan peranan kita sebagai Ahli Sunnah Wal Jama‘ah?

Ramai jua yang tahu peranan masing-masing tetapi mengabaikan tindakan segera atau menganggap ia sebagai suatu yang boleh dilakukan pada masa yang akan datang tanpa disedari semakin hari semakin pupus insan yang mengetahui erti aqidah yang sebenar, semakin hari semakin hilang mutiara ilmu aqidah yang menjadi senjata utama dalam menguatkan serta memajukan lagi taraf insan yang bergelar Ahli Sunnah Wal Jama‘ah.

Tidak pernah tahukah insan sebegini dengan sabda Nabi Muhammad yang diriwayatkan oleh Imam Ibn ‘Asakir dan Imam Abdariyy bahawa Baginda pernah bersabda yang bermaksud:

Sesungguhnya manusia itu apabila ia melihat (mengetahui) kemungkaran, tiada pula ia merubahkannya, maka Allah akan mengumumkan azab-Nya ke atas semua manusia.

Terlupakah insan ini akan kata-kata yang sering diungkap oleh para ulama seperti Imam ‘Ali al-Daqqaq yang bermaksud:

Senyap dari menyatakan kebenaran merupakan syaitan bisu.”

Semoga dari tulisan ini dapat menguatkan lagi semangat kita dalam memperjuangkan agama Allah. Amin.
 
Design by SUNNAH STUDIO | Bloggerized by TERBITAN MUKMIN - Premium Blogger Themes | MADU KEIMANAN, SUNNAH STUDIO